02 November 2008

AMELINA - ALBUM BARU???


Sepanjang bulan syawal (terutama setiap sabtu dan minggu), tak henti-henti saya ke undangan open house. Jumpa kawan-kawan lama. Macam-macam cerita. Jumpa orang yang kita tidak kenal pun, jadi kenal. "Oh ini rupanya Encik Ruslan Mamat, penerbit dangdut 'tu ya." Saya jadi malu juga bila dicop 'penerbit dangdut' walaupun saya dah bersara daripada menerbitkan album dangdut!
Tapi.....apa nak dikata. Selagi dunia ini belum kiamat, saya akan tetap dicop sebagai penerbit dangdut!

"Mana pergi Amelina?" Ada juga soalan tentang Amelina diajukan kepada saya. Saya jawab, "Tak tahulah. Dia dah kahwin dan beranak pinak. " "Eh, kalau dia buat come back, tentu masih laku lagi tu," terjah orang yang mengajukan soalan tadi. "Boleh ke? Badan diapun tentu dah boroi. Dengar cerita dia dah 'berjilbab'. Apatah lagi, situasi sekarang, penjualan album tak macam dulu lagi dah. Bukan setakat Siti Nurhaliza, raja SMS si Mawi pun belum tentu boleh jual lagi. " celah saya.

Saya jadi teringat tentang rakaman album terbaru (sepatutnyalah) Amelina yang saya buat pada tahun 2001. Semua lagu sudah saya siapkan muziknya. Terakhir saya jumpa dia waktu dia datang ke Nada studio di Kelana Jaya ambil CD lagu baru untuk latihan sebelum vokal. Sampai ke sudah, dia tak buat vokal. Sakan Warner Music mengamuk gara-gara Amelina tidak mahu siapkan rakaman tersebut. Apa taknya, hutang dia di Warner Music masih banyak. Terakhir dia ambil "advances" 200 ribu. Sampai sekarang "hutang tertunggak" dengan Warner Music. Sebab itulah Warner Music terpaksa keluarkan album kompilasi dia tiap-tiap tahun supaya boleh cover advances yang dia ambil.