22 September 2009

Lama Tak Update

Sejak sibuk dengan projek penulisan buku, saya jadi jarang dan malas nak update blog ini. Harap maaf.

20 Mei 2009

AMELINA - MASIH ADA PEMINAT BERTANYA!

Nampaknya banyak respon yang saya terima bertanyakan Amelina. Lagi-lagi Amelina! Seperti yang saya katakan berulang kali, Amelina tidak akan 'kembali' lagi dalam dunia seni selagi dia masih berstatus 'isteri orang'. Amelina seorang isteri yang ikut kemahuan suami! Tidak pernah membantah apa kata suami. Suaminya tidak akan membenarkan Amelina menyanyi lagi. Itu kemahuan suaminya!

Ada seorang peminat dari Shah Alam memberikan komentarnya setelah membaca blog saya ini. Katanya, sewaktu Amelina gah di persada muzik, dia masih di bangku sekolah. Keluarganya cukup minat dengan Amelina. Waktunya pun sudah 10 hingga 13 tahun yang lalu. Dia yang dlu masih di bangku sekolah, sekarang sudah besar panjang! Hehehee.........terima kasih di atas sokongan anda. Kalau nak cari lagu-lagu Amelina - carilah di imeem.com atau lihat di youtube.

Foto di atas, adalah kenangan ketika majlis anugerah platinum - penjualan di atas 50,000 unit kaset/CD. Lagu yang hits dari album itu ialah Cinta Oh Cinta. Itulah album ketiga Amelina. Saya yang paling kiri. Di sebelah saya, Dato' Nasser Abu Kassim (dulu Pengarah A & R Warner Music Malaysia, dan sekarang salah seorang Lembaga Pengarah AirAsia). Manakala di sebelah kanan ialah sdr Din (wakil bagi pihak Iwan yang tidak hadir pada majlis tersebut ketika itu).

09 April 2009

NASIB LAGU-LAGU ANTHEM NEGERI

Sejak bulan Disember, 2008, saya berusaha keras mengumpul dan mencari bahan-bahan untuk projek rakaman semula lagu-lagu anthem negeri. Kesemuanya 15 buah lagu - 13 buah negeri, sebuah Wilayah Persekutuan dan sebuah lagu negaraku.
Saya cuba hubungi Kementerian Penerangan. Lagu-lagunya tidak complete. Maksud saya yang ada vokalnya. Empat negeri yang tidak ada vokal dalam simpanan mereka. Antaranya lagu anthem negeri Pahang, Melaka, Kedah dan Perlis. Saya hubungi Arkib Negara di Jalan Duta. Jawapan yang sama saya terima. Empat lagu yang sama tidak ada vokal. Kalau yang full music memang ada dalam simpanan mereka.
Rupa-rupanya selama ini orang tidak ambil berat dan tidak ambil peduli terhadap lagu-lagu anthem ini. Biarpun ianya 'berkarat' dan menyakitkan telinga kalau mendengarkannya! Apa tidaknya, kebanyakan lagu-lagu anthem negeri yang ada dirakamkan di sekitar tahun 50an dan 60an. Kecuali lagu Negaraku yang seringkali diperbaharui. Dan yang terbaru, ianya digubah semula oleh Dato' Wah Idris dengan bajet sejumlah RM1.5juta.
Fareez (bekas suami Noraniza Idris) bersama rakan-rakannya (termasuk saya) buat kertas kerja untuk merakam semula lagu-lagu anthem ini. Ditambah pula dengan 15 lagu-lagu PATRIOTIK. Visi utama kami ialah untuk 'memulihkan kembali' semangat cintakan tanahairair melalui lagu-lagu anthem dan patriotik ini, di samping dengan niat memulih-hara dan memelihara lagu-lagu anthem.
Marilah kita secara jujurnya - bertanya kepada diri sendiri. Ingat lagi ke tidak kita ini bagaimana menyanyikan lagu anthem negeri kita sendiri. Cuba kita nyanyikan! Haraaaaaaaaam!!!!! Kita pun dah tak tahu nak menyanyikan lagu anthem negeri sendiri! Malah lagu negaraku pun dah ada anak-anak muda yang tak tahu nak menyanyikannya. Ya ampun! Apa nak jadi dengan generasi kita akan datang. Jauh sekali daripada mahu didedahkan dengan lagu-lagu anthem negeri masing-masing.
Siapakah yang mahu dipersalahkan kalau suatu ketika nanti, generasi muda kita langsung tidak tahu lagu-lagu anthem negeri mereka sendiri. Apakah kita mahu menyalahkan generasi muda yang tidak didedahkan pendengaran mereka dengan lagu-lagu anthem tersebut. Atau kita yang bekerja makan gaji buta buat-buat tak tahu atau sememangnya tidak pernah terfikirpun mahu memulih-hara dan memelihara lagu-lagu anthem ini.
Sekitar bulan Februari, 2009, saya telah mengirimkan proposal untuk merakam semula lagu-lagu anthem ini ke setiap negeri. Saya email ke setiap SUK Negeri dan juga pejabat-pejabat Menteri Besar. Langsung tidak ada khabar berita, kecuali negeri Selangor yang menyatakan dengan dukacitanya bahawa kerajaan negeri buat masa ini tiada bajet. Padahal bajet untuk merakam semula dan mencetak CD sejumlah 10,000 keping untuk diberikan secara percuma ke sekolah-sekolah atau pejabat-pejabat kerajaan di seluruh negeri, hanyalah sejumlah RM80,000 sahaja. Saya percaya, kalaupun kerajaan negeri tiada bajet, ianya bolehlah mendapatkan penaja daripada syarikat-syarikat besar di negeri masing-masing. 8 buah syarikat taja RM10,000. Dah selesai masalah bajet! Tapi apa nak buat. Mereka tak terfikir pun ke arah itu.
Kami tidak putus asa. Kami pun mula merangka untuk meneruskan juga hasrat murni ini. Kami cari modal atau dapatkan grant dari mana-mana pihak. Mahu tak mahu kami kenalah jual CD tersebut ke seluruh sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan. Kami perlukan sokongan daripada Kementerian Pelajaran. Begitu juga dengan Kementerian KEKKWA.
Setidak-tidaknya kerja kami untuk memulihkan semangat 'kerakyatan' dan 'kenegaraan' melalui rakaman semula lagu-lagu anthem ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak. Kalau tidak kami sendiri yang menyimpan sedikit rasa 'kebertanggungjawapan' untuk memulih-hara dan memeliharanya, siapa lagi gamaknya!

07 Mac 2009

AL FATIHAH BUAT 2 RAKAN SENI


Dua hari berturut-turut (5hb & 6hb Mac, 2009), dua rakan seni kembali ke rahmatullah. Kedua-duanya meninggal akibat sakit jantung. Kedua-duanya meninggal di hospital. Allahyarham Mohd. Arzmy Mohamad, bekas ketua bahagian melayu di syarikat rakaman EMI meninggal di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia lewat tengah malam. Manakala Allahyarham Zubir Ali, seorang penyanyi dan pencipta lagu-lagu puisi meninggal di Hospital Pakar Damansara lebih kurang jam 11.00 pagi. Secara kebetulannya, Allahyarham Zubir Ali pernah 'bernaung' di bawah syarikat rakaman EMI sebagai pengedar album HARMONI yang popular dengan lagu 'PENANTIAN' dan 'DOA'.

Orang awam jarang yang kenal Allahyarham Che Mi (panggilan mesra Allahyarham Mohd Arzmy di kalangan kakitangan EMI). Tapi di kalangan artis seperti Datuk Sharifah Aini, Rabbani, Sudirman, Cromok, Amuk, Bloodshed, Ella, KRU, Shamrin Fotograf, Roy, Aris Ariwatan dan ramai lagi memang akrab dengan Allahyarham. Che Mi boleh dikatakan 'master-mind' untuk setiap penerbitan album-album mereka. Malah di kalangan penerbit album seperti M. Nasir, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, S. Atan dan ramai lagi termasuk saya sendiri cukup senang bekerja dengan Che Mi.

Penghujung Januari lalu saya dan sdr. Opie Bloodshed sempat singgah di pejabat barunya (setelah EMI menamatkan operasinya bulan september 2008) di Ukay Perdana. Hampir 2 jam kami bersembang, tentunya tentang perkembangan muzik tanahair yang kian 'merudum' dan 'suram'. Selepas EMI menamatkan operasinya di Malaysia, dia ditawarkan kerja oleh seorang DATUK dari Johor sebagai Pengarah/Penerbit Eksekutif sebuah syarikat bernama DASE Vintage Sound Solutions Sdn Bhd. Tapi tidak kekal lama di situ (sekadar 2 atau 3 bulan sahaja). Di Ukay Perdana itulah pejabatnya.
Rupa-rupanya itulah kali terakhir kami berbual panjang. Menitik jugalah airmata saya apabila mendapat SMS daripada sdr Sani Sudin pada jam 2.49 pagi 5hb Mac. Apa tidaknya, Che Mi banyak memberi kesempatan kepada saya untuk menerbitkan album di bawah EMI. Kesempatan pertama ialah untuk menerbitkan album dangdut ANA LEHA, penyanyi baru dari Johor Bharu. Che Mi juga berkesempatan ikut saya ke Bandung semasa rakaman album ini. Tetapi sayang, album ini 'terperap' gara-gara masalah disiplin ANA LEHA.
Kemudian Che Mi minta saya buat album CHIP MUNK. Heheheeeee.......lagu-lagu dangdut popular yang pernah saya terbitkan dibuat cover version. Penyanyinya CHIP MUNK......dengan menggunakan teknologi compress vocal, terhasillah CHIP MUNK. Penyanyinya - sapa-sapa sajalah, termasuk saya sendiri.
Lepas tu Che Mi minta saya terbitkan lagu-lagu popular tapi muziknya didangdutkan. Cover version jugalah. Judul album tersebut ialah 'GELEK 100%'. Salah satu lagu yang berjudul 'SEKUNTUM MAWAR MERAH' ciptaan Oma Irama dengan susunan muzik oleh sdr Eddy Milfaris mendapat tempat jugalah di corong-corong radio. Penyanyinya orang Bandung. Suaranya mirip LATA MANGESHKAR sehinggakan ada yang percaya kalau saya katakan bahawa penyanyi itu adalah LATA MANGESHKAR dari India.
Setelah selesai projek GELEK 100%, Che Mi suruh saya buat album lagu-lagu komedi P. Ramlee. Kali ini saya buat muzik Dangdut Ace Of Bass . Che Mi pening kepala, mana nak cari penyanyi komedi? Saya tanya Che Mi, di EMI tak ada ke penyanyi komedi? Kata Che Mi, ada sorang - IMUDA. Tapi IMUDA susah nak dijaga. Saya pun terus telefon IMUDA. Sejam kemudian IMUDA muncul di studio Channel Eleven. Terkejut juga Che Mi kerana saya boleh control IMUDA. Saya bagitahu Che Mi, saya ni dah lama berkawan dengan IMUDA. Sejak saya jadi wartawan lagi.
IMUDA boleh cakap tamil. Jadi saya suruh IMUDA nyanyikan lagu MADU TIGA dalam versi tamil. Kalau anda nak dengar lagu MADU TIGA versi tamil. Carilah CDnya. Hehehee.....Ini lagu Bila Mama Pakai Celana. http://www.youtube.com/watch?v=vPMnATvSMAc
Bekerja dengan Che Mi cukup senang. Ideanya kadang-kadang aneh tapi 'memberansangkan'. Suka memberikan tunjuk ajar dan idea yang bernas. Walaupun tidak ada projek rakaman dengan EMI, saya masih suka menghubunginya, berbual-bual panjang sambil bertanya khabar tentang dunia muzik tanahair.
Pertemuan dengan Allahyarham Che Mi di pejabatnya di Ukay Perdana itu rupa-rupanya untuk yang terakhir kali. Astaghfirullah.........semoga rohnya aman damai dijaga Malaikat sehingga tiba saatnya ditempatkan ke syurga. Allahyarham seorang yang menjaga solat 5 waktu dengan sebaik-baiknya dan cintakan agama. Al- Fatihah......Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa hambaMu ini. Tempatkanlah saudaraku ini di tempat hambaMu yang soleh. Amin Ya Rabbal 'Alamiiin.