07 Mac 2009

AL FATIHAH BUAT 2 RAKAN SENI


Dua hari berturut-turut (5hb & 6hb Mac, 2009), dua rakan seni kembali ke rahmatullah. Kedua-duanya meninggal akibat sakit jantung. Kedua-duanya meninggal di hospital. Allahyarham Mohd. Arzmy Mohamad, bekas ketua bahagian melayu di syarikat rakaman EMI meninggal di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia lewat tengah malam. Manakala Allahyarham Zubir Ali, seorang penyanyi dan pencipta lagu-lagu puisi meninggal di Hospital Pakar Damansara lebih kurang jam 11.00 pagi. Secara kebetulannya, Allahyarham Zubir Ali pernah 'bernaung' di bawah syarikat rakaman EMI sebagai pengedar album HARMONI yang popular dengan lagu 'PENANTIAN' dan 'DOA'.

Orang awam jarang yang kenal Allahyarham Che Mi (panggilan mesra Allahyarham Mohd Arzmy di kalangan kakitangan EMI). Tapi di kalangan artis seperti Datuk Sharifah Aini, Rabbani, Sudirman, Cromok, Amuk, Bloodshed, Ella, KRU, Shamrin Fotograf, Roy, Aris Ariwatan dan ramai lagi memang akrab dengan Allahyarham. Che Mi boleh dikatakan 'master-mind' untuk setiap penerbitan album-album mereka. Malah di kalangan penerbit album seperti M. Nasir, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, S. Atan dan ramai lagi termasuk saya sendiri cukup senang bekerja dengan Che Mi.

Penghujung Januari lalu saya dan sdr. Opie Bloodshed sempat singgah di pejabat barunya (setelah EMI menamatkan operasinya bulan september 2008) di Ukay Perdana. Hampir 2 jam kami bersembang, tentunya tentang perkembangan muzik tanahair yang kian 'merudum' dan 'suram'. Selepas EMI menamatkan operasinya di Malaysia, dia ditawarkan kerja oleh seorang DATUK dari Johor sebagai Pengarah/Penerbit Eksekutif sebuah syarikat bernama DASE Vintage Sound Solutions Sdn Bhd. Tapi tidak kekal lama di situ (sekadar 2 atau 3 bulan sahaja). Di Ukay Perdana itulah pejabatnya.
Rupa-rupanya itulah kali terakhir kami berbual panjang. Menitik jugalah airmata saya apabila mendapat SMS daripada sdr Sani Sudin pada jam 2.49 pagi 5hb Mac. Apa tidaknya, Che Mi banyak memberi kesempatan kepada saya untuk menerbitkan album di bawah EMI. Kesempatan pertama ialah untuk menerbitkan album dangdut ANA LEHA, penyanyi baru dari Johor Bharu. Che Mi juga berkesempatan ikut saya ke Bandung semasa rakaman album ini. Tetapi sayang, album ini 'terperap' gara-gara masalah disiplin ANA LEHA.
Kemudian Che Mi minta saya buat album CHIP MUNK. Heheheeeee.......lagu-lagu dangdut popular yang pernah saya terbitkan dibuat cover version. Penyanyinya CHIP MUNK......dengan menggunakan teknologi compress vocal, terhasillah CHIP MUNK. Penyanyinya - sapa-sapa sajalah, termasuk saya sendiri.
Lepas tu Che Mi minta saya terbitkan lagu-lagu popular tapi muziknya didangdutkan. Cover version jugalah. Judul album tersebut ialah 'GELEK 100%'. Salah satu lagu yang berjudul 'SEKUNTUM MAWAR MERAH' ciptaan Oma Irama dengan susunan muzik oleh sdr Eddy Milfaris mendapat tempat jugalah di corong-corong radio. Penyanyinya orang Bandung. Suaranya mirip LATA MANGESHKAR sehinggakan ada yang percaya kalau saya katakan bahawa penyanyi itu adalah LATA MANGESHKAR dari India.
Setelah selesai projek GELEK 100%, Che Mi suruh saya buat album lagu-lagu komedi P. Ramlee. Kali ini saya buat muzik Dangdut Ace Of Bass . Che Mi pening kepala, mana nak cari penyanyi komedi? Saya tanya Che Mi, di EMI tak ada ke penyanyi komedi? Kata Che Mi, ada sorang - IMUDA. Tapi IMUDA susah nak dijaga. Saya pun terus telefon IMUDA. Sejam kemudian IMUDA muncul di studio Channel Eleven. Terkejut juga Che Mi kerana saya boleh control IMUDA. Saya bagitahu Che Mi, saya ni dah lama berkawan dengan IMUDA. Sejak saya jadi wartawan lagi.
IMUDA boleh cakap tamil. Jadi saya suruh IMUDA nyanyikan lagu MADU TIGA dalam versi tamil. Kalau anda nak dengar lagu MADU TIGA versi tamil. Carilah CDnya. Hehehee.....Ini lagu Bila Mama Pakai Celana. http://www.youtube.com/watch?v=vPMnATvSMAc
Bekerja dengan Che Mi cukup senang. Ideanya kadang-kadang aneh tapi 'memberansangkan'. Suka memberikan tunjuk ajar dan idea yang bernas. Walaupun tidak ada projek rakaman dengan EMI, saya masih suka menghubunginya, berbual-bual panjang sambil bertanya khabar tentang dunia muzik tanahair.
Pertemuan dengan Allahyarham Che Mi di pejabatnya di Ukay Perdana itu rupa-rupanya untuk yang terakhir kali. Astaghfirullah.........semoga rohnya aman damai dijaga Malaikat sehingga tiba saatnya ditempatkan ke syurga. Allahyarham seorang yang menjaga solat 5 waktu dengan sebaik-baiknya dan cintakan agama. Al- Fatihah......Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa hambaMu ini. Tempatkanlah saudaraku ini di tempat hambaMu yang soleh. Amin Ya Rabbal 'Alamiiin.