09 April 2009

NASIB LAGU-LAGU ANTHEM NEGERI

Sejak bulan Disember, 2008, saya berusaha keras mengumpul dan mencari bahan-bahan untuk projek rakaman semula lagu-lagu anthem negeri. Kesemuanya 15 buah lagu - 13 buah negeri, sebuah Wilayah Persekutuan dan sebuah lagu negaraku.
Saya cuba hubungi Kementerian Penerangan. Lagu-lagunya tidak complete. Maksud saya yang ada vokalnya. Empat negeri yang tidak ada vokal dalam simpanan mereka. Antaranya lagu anthem negeri Pahang, Melaka, Kedah dan Perlis. Saya hubungi Arkib Negara di Jalan Duta. Jawapan yang sama saya terima. Empat lagu yang sama tidak ada vokal. Kalau yang full music memang ada dalam simpanan mereka.
Rupa-rupanya selama ini orang tidak ambil berat dan tidak ambil peduli terhadap lagu-lagu anthem ini. Biarpun ianya 'berkarat' dan menyakitkan telinga kalau mendengarkannya! Apa tidaknya, kebanyakan lagu-lagu anthem negeri yang ada dirakamkan di sekitar tahun 50an dan 60an. Kecuali lagu Negaraku yang seringkali diperbaharui. Dan yang terbaru, ianya digubah semula oleh Dato' Wah Idris dengan bajet sejumlah RM1.5juta.
Fareez (bekas suami Noraniza Idris) bersama rakan-rakannya (termasuk saya) buat kertas kerja untuk merakam semula lagu-lagu anthem ini. Ditambah pula dengan 15 lagu-lagu PATRIOTIK. Visi utama kami ialah untuk 'memulihkan kembali' semangat cintakan tanahairair melalui lagu-lagu anthem dan patriotik ini, di samping dengan niat memulih-hara dan memelihara lagu-lagu anthem.
Marilah kita secara jujurnya - bertanya kepada diri sendiri. Ingat lagi ke tidak kita ini bagaimana menyanyikan lagu anthem negeri kita sendiri. Cuba kita nyanyikan! Haraaaaaaaaam!!!!! Kita pun dah tak tahu nak menyanyikan lagu anthem negeri sendiri! Malah lagu negaraku pun dah ada anak-anak muda yang tak tahu nak menyanyikannya. Ya ampun! Apa nak jadi dengan generasi kita akan datang. Jauh sekali daripada mahu didedahkan dengan lagu-lagu anthem negeri masing-masing.
Siapakah yang mahu dipersalahkan kalau suatu ketika nanti, generasi muda kita langsung tidak tahu lagu-lagu anthem negeri mereka sendiri. Apakah kita mahu menyalahkan generasi muda yang tidak didedahkan pendengaran mereka dengan lagu-lagu anthem tersebut. Atau kita yang bekerja makan gaji buta buat-buat tak tahu atau sememangnya tidak pernah terfikirpun mahu memulih-hara dan memelihara lagu-lagu anthem ini.
Sekitar bulan Februari, 2009, saya telah mengirimkan proposal untuk merakam semula lagu-lagu anthem ini ke setiap negeri. Saya email ke setiap SUK Negeri dan juga pejabat-pejabat Menteri Besar. Langsung tidak ada khabar berita, kecuali negeri Selangor yang menyatakan dengan dukacitanya bahawa kerajaan negeri buat masa ini tiada bajet. Padahal bajet untuk merakam semula dan mencetak CD sejumlah 10,000 keping untuk diberikan secara percuma ke sekolah-sekolah atau pejabat-pejabat kerajaan di seluruh negeri, hanyalah sejumlah RM80,000 sahaja. Saya percaya, kalaupun kerajaan negeri tiada bajet, ianya bolehlah mendapatkan penaja daripada syarikat-syarikat besar di negeri masing-masing. 8 buah syarikat taja RM10,000. Dah selesai masalah bajet! Tapi apa nak buat. Mereka tak terfikir pun ke arah itu.
Kami tidak putus asa. Kami pun mula merangka untuk meneruskan juga hasrat murni ini. Kami cari modal atau dapatkan grant dari mana-mana pihak. Mahu tak mahu kami kenalah jual CD tersebut ke seluruh sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan. Kami perlukan sokongan daripada Kementerian Pelajaran. Begitu juga dengan Kementerian KEKKWA.
Setidak-tidaknya kerja kami untuk memulihkan semangat 'kerakyatan' dan 'kenegaraan' melalui rakaman semula lagu-lagu anthem ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak. Kalau tidak kami sendiri yang menyimpan sedikit rasa 'kebertanggungjawapan' untuk memulih-hara dan memeliharanya, siapa lagi gamaknya!