24 Oktober 2008

SAMAD LEFTHANDED 'BERSEMADILAH' ......

Hari ini tanggal 23hb Oktober, 2008 - lebih kurang jam 1.00 tengah hari - telah kembali ke rahmatullah seorang teman yang sukar dicari ganti. Samad Lefthanded - pemain gitar yang tidak asing lagi. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham. Allahyarham Samad Lefthanded yang saya kenal sejak saya masih wartawan hiburan di MEDIA HIBURAN, walaupun wajahnya 'ganas' tapi hatinya tak seganas wajahnya. Di mulutnya sentiasa terukir senyum tak putus-putus, walaupun 'dalam kepalanya' ada bermacam-macam masalah.

Allahyarham meninggal secara mengejut. Tak siapa sangka. Jam 12.00 tengah hari, Allahyarham dikatakan sempat telefon dan berbual-bual dengan Eddy Hamid, tahu-tahu sejam kemudian sudah meninggal. Terkedu sakan teman kita Eddy Hamid. Apalagi Awang BPR. Minggu lepas, dia sempat berhari raya ke rumah Allahyarham Samad, sempat bergurau senda. Malah kata Allahyarham, "minggu depan aku telefon kau. Ada projek." Tahu-tahu selepas Awang muncul dalam program Malaysia Hari Ini di TV3, jam 8.30 pagi bersama Nash dan Bagio, dia terima call yang mengatakan Samad meninggal. Macam tak percaya dibuatnya!

Kebetulan rumah saya dekat dengan rumah Awang, saya tumpang Awang menziarah jenazah yang masih berada di Hospital Ampang, Pandan Mewah. Sesampai di sana, saya lihat ada beberapa teman lain sudah kelihatan kelibatnya. Ada Datuk Aziz Sattar, Opie Bloodshed, Eddy Slam, Man Kidal, Big (ex Sony), Nash, Amir (soundman studio), Aub (bassist), Izan dan beberapa wajah yang tidak saya kenali. Tak lama kemudian muncul lagi teman-teman seperjuangan yang lain. Saleem, Hattan, Aris Ariwatan, Harun BPR, Nuar Botak, Eddy Hamid, Saari Amri, Bob Lokman, Awie Wings, Black Wings, Ly Baiduri, Cik gu Anuar Dahlan, Tom (drummer), Freddie Fernandez (Karyawan), Rosli Mohalim (Sweet Charity), Salman (Bassist), Stone (guitarist), Arab (Syed Azlan), Amran Omar, Beb, Shamsuddin Sidek dan ramai lagilah (maaf kerana tidak tulis nama anda di sini).

Bob Lokman, atas daya usahanya mengumpul dana daripada teman-teman buat meringankan beban keluarga Allahyarham Samad. Banyak juga collection yang Bob dapat kumpulkan. Malamnya, saya sempat SMS Datuk Seri Tony Fernandes (CEO Air Asia yang dulunya CEO Warner Music Malaysia) memberitahu pemergian Allahyarham Samad. Terkejut sakan juga Tony. Dia minta alamat rumah. Atas daya usaha Tony, album solo Allahyarham berjaya menembusi pasaran luar negeri.

Saya sempat melihat wajah Allahyarham - sebelum dimandikan dan sesudah dimandikan di bilik mandi mayat di Bahagian Forensik, Hospital. Hanya Al Fatihah yang mampu saya sedekahkan kepada Allahyarham. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa allahyarham dan diterima segala amalnya. Sesungguh Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

Sekali lagi - Al Fatihah.