27 Oktober 2008

KE MANA TEMAN LAMA DI WATAN DULU?

Suatu ketika dulu sewaktu di Kumpulan Karangkraf, saya pernah ditugaskan menjadi wartawan WATAN. Masa 'tu pengarang WATAN ialah Mohd Khairuni. Antara teman-teman wartawan ialah sdr Misrom Matlahem dan adiknya Kamal Ahmad (kedua-duanya merupakan adik kepada Datuk Ruhanie Ahmad, blogger Kuda Kepang), Bidin Baseri, Nazeri, Lokman Abdullah (yang kini masih jadi wartawan politik di Agenda Daily), Mohd Khushairi (sekarang bertitle Datuk dan merupakan wakil rakyat DUN Slim River), Zabidi Saidi, Herman Nor Ayub (orang Sabah), Samad Rahman, Maryam Ibrahim (Datin), Shamsuri Roslan, Shamsury Mamat, Azlan Ghani dan juga Rodley Nayan (Sukan). Nama-nama lain, lupa pulak! Al maklumlah dah lama...............Masa 'tu, sdr Kamal Amir bertindak sebagai Ketua Pengarang di Kumpulan Karangkraf.

Paling kelakarnya nama kami bertiga Ruslan Mamat, Shamsury Mamat dan Shamsuri Ruslan. Saya dan Shamsury Mamat disangkanya adik beradik. Kebetulan kami, sama-sama Kelantan! Shamsuri Ruslan (orang kuat DSAI) pendiam orangnya. Ramai orang keliru nama kami bertiga. Macam sengaja dibuat-buat pulak!

Watan ketika itu betul-betul bebas. Tidak terikat oleh mana-mana parti. Oleh kerana saya orang Kelantan, saya lebih banyak diarahkan membuat liputan PAS. Dulu (sampai sekarangpun!) orang-orang PAS tak suka liputan daripada TV3. Sebab kata mereka, TV3 memutarbelitkan fakta mereka. Sama juga dengan akhbar harian lain seperti Utusan dan Berita Harian. Pengikut-pengikut PAS yang fanatik, akan menghalang mereka daripada membuat liputan. Tapi saya, bila sebut je nama Watan.....boleh lepas tu! Masa tu, saya rapatlah dengan tokoh-tokoh PAS termasuklah Hj Nakhaei (waktu 'tu dia orang kuat PAS), Hj Shukri, Ust Fadhil Nor, dan ramai lagilah - sehingga saya pun disangka orang ahli PAS. Heheheee......

Tetapi kadang-kadang, kalau tak cukup kakitangan, boss suruh saya cover juga pemilihan UMNO, terutamanya pemilihan di peringkat bahagian. Saya teringat lagi beberapa nama yang waktu itu merangkak-rangkak baru nak naik jadi Ketua UMNO Bahagian. Mereka termasuklah sdr Azman Attar dan Datuk Zakaria Md Derus (Allahyarham). Masih terngiang-ngiang lagi cakap-cakap mereka minta saya tolong 'naikkan' mereka, buatkan publisiti dan macam-macam lagilah. Saya tolong apa yang patut. Tapi bila dah menang.....mereka lupakan kita! Itu biasalah. Heheheee................

Sejak zaman saya jadi wartawan Watan lagi, soal politik wang sudah berakar! Siapa banyak duit, dia boleh menang. Betullah kata Datuk Seri Rais Yatim - jawatan dalam UMNO, sebaiknya ditender sahaja. Nak jadi ketua UMNO kenalah keluar banyak duit. Bila dah menang, 'sebat' baliklah duit yang banyak habis tu.

Sejak saya berhenti dari Karangkraf, dan menyertai dunia hiburan, saya kehilangan teman-teman wartawan saya di Karangkraf dulu. Langsung tidak bersua muka. Shamsury Mamat, katanya ada di Pasir Putih, Kelantan. Shamsuri Ruslan, dengarnya jadi penerbit buku. Entah ya atau tidak! Sdr Zabidi masih menguruskan akhbar Watan (versi sekarang). Mohd Khairuni dah jadi penerbit akhbar Mingguan Perdana dan juga mempunyai syarikat Travel and Tour. Bawa orang pergi ke Mekah. Sdr Kamal Ahmad masih dengan dunia wartawannya. Sekarang bertugas di NST. Abangnya, Misrom Matleham, kali terakhir bertemu, katanya kerja di pejabat UMNO di PWTC. Itupun kali terakhir saya ketemu dia sudah hampir 10 tahun yang lalu.

Sdr Kamal Amir masih aktif menulis buku politik. Saya selalu berjumpa dengannya. Datin Siti Maryam Ibrahim jadi penerbit majalah Perempuan. Datuk Mohd Khushairi jadi orang politik. Pilihanraya yang lalu, nasib baik dia menang. Kalau tidak, Pakatan Rakyat dah sapu. Bidin Baseri, katanya masih aktif bekerja dengan Mohd Khairuni. Ada juga saya mendengar khabar, beberapa teman ini, ada yang sudah meninggal dunia! Al-Fatihah.

Saya benar-benar 'merindui' mereka.....................