07 September 2008

SALEEM & IKLIM - 2


Tiga empat hari Saleem koma di hospital, akhirnya Saleem sedar. Berkat doa ibunya di kampung dan juga isterinya, Ita yang saban hari berada di sisinya.

Saya dengan Saleem, dari segi usia, cuma berbeza 5 hari je tua saya. Saya dilahirkan pada 26hb Ogos, 1961. Manakala Saleem dilahirkan tepat 31hb Ogos, 1961. Dia anak merdeka. Nama betul Saleem ialah AM Saleem. Saya tengok I/C Saleem. AM Saleem maksudnya Anak Moorthy Saleem. Heheheeeee......rupa-rupanya dia anak 'mamak', sebab tulah warna kulit Saleem gelap.

Di tahun 1994, muncullah album IKLIM bersama Warner Music dengan judul album 'Di Pintu Mahligai'. Album ini juga dipasarkan di Indonesia dengan judul yang berbeza iaitu 'Puteri'. Album ini berjaya mencecah 100ribu unit. Tahun berikutnya muncul pula album 'Bukan Niatku'.

Hubungan Saleem dengan anggota IKLIM yang lain tidaklah ngam sangat kerana masalah 'kesihatan' Saleem. Huzali, Kama dan Mohalim benar-benar mengharapkan rezeki daripada show. Sedangkan Saleem tidak pernah mahu ambil tahu. Kalau ada show, jarang Saleem akan ikut latihan di studio. Bila ada show, Saleem akan dijemput di rumahnya di Taman Seri Gombak.

Pernah kejadian....sewaktu show di Pesta Penang, Huzali, Kama dan Mohalim sudah tidak tahan lagi dengan 'kesihatan' Saleem. Semasa show, Saleem betul-betul 'over'. Naik stage pun merangkak gila! Dipanggilnya seorang peminat, disuruhnya peminat itu menyanyi sebuah lagu sampai habis, sedangkan dia tergolek kat bawah. Al maklumlah 'orang sakit'. Masa menyanyi atas stage, dia mengadap speaker, bukannya mengadap penonton, sehinggakan penonton naik meluat lihat Saleem malam itu. Pendek kata show malam itu 'hancur' sehinggakan promoter tak nak bayar duit baki show. Kemarahan Huzali, Kama dan Mohalim tidak dapat dibendung lagi. Bagai valcano pecah! Mereka 'bergaduh' di hotel. Macam-macam perkataan yang tak sedap didengar keluar dari mulut masing-masing.

Esok pagi, sewaktu mahu berangkat pulang, Saleem masih belum bangun! Dengan nada kesal, salah seorang daripada anggota IKLIM menghulurkan sejumlah wang kepada Saleem dan berkata: "Pandai-pandailah kau balik sendiri. Kau nak naik bas ke, nak naik keretapi ke, itu kau punya pasal. Kita orang dah nak balik. Dah bosan layan perangai kau!"

Itulah kemuncak perbalahan antara Saleem dengan anggota IKLIM yang lain. Walaupun dalam keadaan 'sakit' sebegitu, Saleem seolah-olah 'bernazar' dan berkerat rotan bahawa dia tak akan lagi menyusahkan anggota IKLIM yang lain. Biarlah dia sendiri secara solo. Sebab itulah, kalau ada suara-suara nak 're-union' balik IKLIM, Saleem tak nak! Pujuk macam manapun, Saleem dah berkerat rotan tak nak! "Kau orang dulu dah ludah muka aku....sekarang kau orang nak jilat balik!" Itulah kata-kata Saleem terhadap Huzali, Kama dan Mohalim.

Entah macam mana......terhasil juga album IKLIM setelah mereka berkerat rotan tak mahu bersama lagi iaitu album 'Bunga Emas' yang dikeluarkan oleh NOVA Music. Itupun siksa juga nak disiapkan, kata NOVA Music. (.........bersambung)