Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artis. Papar semua catatan

07 September 2008

SALEEM & IKLIM - 2


Tiga empat hari Saleem koma di hospital, akhirnya Saleem sedar. Berkat doa ibunya di kampung dan juga isterinya, Ita yang saban hari berada di sisinya.

Saya dengan Saleem, dari segi usia, cuma berbeza 5 hari je tua saya. Saya dilahirkan pada 26hb Ogos, 1961. Manakala Saleem dilahirkan tepat 31hb Ogos, 1961. Dia anak merdeka. Nama betul Saleem ialah AM Saleem. Saya tengok I/C Saleem. AM Saleem maksudnya Anak Moorthy Saleem. Heheheeeee......rupa-rupanya dia anak 'mamak', sebab tulah warna kulit Saleem gelap.

Di tahun 1994, muncullah album IKLIM bersama Warner Music dengan judul album 'Di Pintu Mahligai'. Album ini juga dipasarkan di Indonesia dengan judul yang berbeza iaitu 'Puteri'. Album ini berjaya mencecah 100ribu unit. Tahun berikutnya muncul pula album 'Bukan Niatku'.

Hubungan Saleem dengan anggota IKLIM yang lain tidaklah ngam sangat kerana masalah 'kesihatan' Saleem. Huzali, Kama dan Mohalim benar-benar mengharapkan rezeki daripada show. Sedangkan Saleem tidak pernah mahu ambil tahu. Kalau ada show, jarang Saleem akan ikut latihan di studio. Bila ada show, Saleem akan dijemput di rumahnya di Taman Seri Gombak.

Pernah kejadian....sewaktu show di Pesta Penang, Huzali, Kama dan Mohalim sudah tidak tahan lagi dengan 'kesihatan' Saleem. Semasa show, Saleem betul-betul 'over'. Naik stage pun merangkak gila! Dipanggilnya seorang peminat, disuruhnya peminat itu menyanyi sebuah lagu sampai habis, sedangkan dia tergolek kat bawah. Al maklumlah 'orang sakit'. Masa menyanyi atas stage, dia mengadap speaker, bukannya mengadap penonton, sehinggakan penonton naik meluat lihat Saleem malam itu. Pendek kata show malam itu 'hancur' sehinggakan promoter tak nak bayar duit baki show. Kemarahan Huzali, Kama dan Mohalim tidak dapat dibendung lagi. Bagai valcano pecah! Mereka 'bergaduh' di hotel. Macam-macam perkataan yang tak sedap didengar keluar dari mulut masing-masing.

Esok pagi, sewaktu mahu berangkat pulang, Saleem masih belum bangun! Dengan nada kesal, salah seorang daripada anggota IKLIM menghulurkan sejumlah wang kepada Saleem dan berkata: "Pandai-pandailah kau balik sendiri. Kau nak naik bas ke, nak naik keretapi ke, itu kau punya pasal. Kita orang dah nak balik. Dah bosan layan perangai kau!"

Itulah kemuncak perbalahan antara Saleem dengan anggota IKLIM yang lain. Walaupun dalam keadaan 'sakit' sebegitu, Saleem seolah-olah 'bernazar' dan berkerat rotan bahawa dia tak akan lagi menyusahkan anggota IKLIM yang lain. Biarlah dia sendiri secara solo. Sebab itulah, kalau ada suara-suara nak 're-union' balik IKLIM, Saleem tak nak! Pujuk macam manapun, Saleem dah berkerat rotan tak nak! "Kau orang dulu dah ludah muka aku....sekarang kau orang nak jilat balik!" Itulah kata-kata Saleem terhadap Huzali, Kama dan Mohalim.

Entah macam mana......terhasil juga album IKLIM setelah mereka berkerat rotan tak mahu bersama lagi iaitu album 'Bunga Emas' yang dikeluarkan oleh NOVA Music. Itupun siksa juga nak disiapkan, kata NOVA Music. (.........bersambung)

06 September 2008

SALEEM DAN IKLIM

Sayalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk IKLIM ke Warner Music kira-kira penghujung tahun 1993. Saya sarankan kepada Encik Nasser Abu Kassim (sekarang sudah dapat title DATUK!) A & R Director (Malay) Warner Music. Beliau bagi lampu hijau, lalu saya mula bertemu dengan group IKLIM untuk membincangkan hal itu. Mereka setuju. Saya bawa mereka ke pejabat - waktu itu ada 4 orang je yang menganggotai IKLIM - Saleem, Mohalim, Huzali dan Kama. Umarul dah tak ada.

Selepas sign kontrak - mereka diberi sedikit advance against royalty. Barulah berasa sikit pegang duit. Warner Music bagi inisiatif baru - setiap seorang diberi RM1,500 setiap bulan. Bolehlah buat bayar sewa rumah dan ansuran kereta setiap bulan. Tak sampaipun seminggu selepas sign kontrak dengan Warner Music, Saleem terlibat dengan kemalangan berhampiran JPJ Setapak/Kem Tentera Wardiburn. Tiga empat hari jugaklah Saleem koma. Manakala tentera yang terlibat kemalangan dengan Saleem meninggal dunia. Jam 2 pagi Huzali telefon saya memberitahu kemalangan itu.

Kata teman-teman terdekat, sebelum kejadian, Saleem mabuk 'berat'. Awie sampai nak 'tangan' Saleem sewaktu di Fire Club malam itu. Awie tahu yang Saleem mabuk 'berat', jadi dia tak nak layan sangatlah si Saleem tu. Sewaktu mahu pulang ke rumah, Saleem dalam keadaan mabuk 'berat' telah beberapa kali terlanggar tembok atau tiang. Malah dia salah jalan pulang....rumahnya di Gombak. Tapi dia menuju ke Setapak. Masa tu lebuhraya kesas belum ada lagi. Kereta proton yang dipandu Saleem, hancur! Apalagi kereta anggota tentera yang dilanggarnya........!!! Kalau melihatkan keadaan kedua-dua buah kereta, memang Saleem tak ada harapan untuk hidup. Rupa-rupanya, Tuhan masih menyayangi Saleem...semuga Saleem sedar akan musibah itu dan tidak lagi mabuk 'berat'.

Kes kemalangan ini dibicarakan di mahkamah Jalan Duta. Pembicaan kes ini mengambil masa yang lama juga sebab banyak kali tertangguh. Saleem didapati bersalah kerana memandu tanpa lesen dan cuai. ........................(bersambung)

31 Ogos 2008

MAS IDAYU - 3


Saya naik hairan, di kalangan teman-teman artis, ramai yang tidak suka berkawan dengan MAS IDAYU. Saya tanya mereka, kenapa? Mereka jawab, MAS IDAYU mulut laser sangat. Ada pula artis lain yang jawab.....dia ingat dia tu bagus sangat! Heheheeee.....Bagi saya semua ragam artis memang begitu. Saya dah masak sangat dengan ragam artis nih. Apalagi kalau dah popular! Macam-macam hal. Ada yang egonya tinggi sangat. Ada yang lupa diri. Jumpa teman sekampung pun dah macam tak kenal. Ada yang jadi kedekut nak mampus. Ada yang berlagak macam artis 'oversea'. Pakai manager, pasang harga, pasang susuk, pasang botox, pasang buluh perindu, dan segala macam pasang lagilah.....pasang pelindung diri pun ada, takut orang dengki kat dia! Padahal tak ada siapa pun nak dengki mendengki. Dia je yang 'perasan' orang dengki kat dia.

Album 'Bolehlah Boleh' MAS IDAYU terjual melebihi 60 ribu unit. Itu angka yang diberikan oleh Warner Music. Album 'Cinta 100%' terjual hampir 100 ribu unit. Di rumah saya banyak tergantung anugerah Platinum hasil kerja saya yang 'meletup'. Ada Anugerah Platinum AMELINA yang pertama 'Rindu Ah Ah', album keduanya 'Asyik'. Ada Anugerah 4 Platinum Kompilasi Dangdut. Dinding ruang tamu rumah saya penuh dengan anugerah Platinum! Mula-mula seronok juga tengok anugerah Platinum nih.....lama-kelamaan jadi bosan jugak.

Apataknya, bila ada tamu yang tak kenal saya melihat anugerah platinum tu......Oh ini Encik Ruslan penerbit dangdut ya! Lama-lama saya 'buang' semua anugerah platinum saya tu. Dan dinding ruang tamu rumah saya dah 'clear' dari sebarang anugerah platinum tu. Saya pinjamkan kepada Encik Carlos Zubir (masa dia launching Artis Club di Jalan Tun Razak, bersebelahan Kedutaan Amerika dulu). Sampai sekarang tak dipulangkan......haraaaaaaaaaaammmmm) .

Satu hari, DJ RTM JB, Ismail Ibrahim telefon, nak panggil MAS IDAYU menyanyi di Johor Bharu. Saya tanya berapa bajet? Dia kata RM3 ribu. Itu je bajet yang dia orang kasi. Saya pun call MAS IDAYU. MAS IDAYU minta RM6 ribu. Saya cuba runding dengan MAS IDAYU. Kata dia, nak ambil, tak nak sorry! Saya pun call Ismail Ibrahim, saya bagitahu dia MAS IDAYU minta RM6 ribu. Harga dah tak boleh runding lagi! Kata Ismail: Hai.....takkanlah penerbit sendiri pun dah tak boleh runding! Saya bagitahu Ismail berseloroh: Dia nyanyi dah RM3 ribu. Cara dia pegang MIC pun dah RM1 ribu. Dia gelek 180 degrees dah makan RM2 ribu! Semuanya RM6 ribu. Hahahahaaaa.......Lepas tu, ramai juga teman-teman telefon saya nakkan MAS IDAYU show, saya bagitahu mereka, kalau bajet ciput....lupakanlah! Walaupun saya sendiri panggil dia kalau ada show! Tak dapetlah den nak nolongnya!

MAS IDAYU - 2

Album pertama dangdut MAS IDAYU yang saya terbitkan 'meletup' di pasaran dengan lagu hitnya 'Cinta 100%'. Mulai dari itu ligatlah MAS IDAYU ke sana ke mari di seluruh pelosok tanahair buat show. Sakan rezeki dia! Sebelum ini MAS IDAYU sekadar 'suam-suam kuku', sekarang dah naik daun...............

Setahun selepas album itu meletup di pasaran, saya diarahkan untuk menyiapkan album kedua MAS IDAYU. Pening juga kepala nak pertahankan 'tanggungjawab' nih. Artis hanya tahu menyanyi je. Artis tak mahu tahu penerbit bersusah payah menyiapkan album mereka. Sudah jadi lumrah......kalau album tak boleh jual, penerbit yang kena kutuk. Tapi kalau album 'meletup' di pasaran, orang tak tanya, siapa penerbit album tu. Wah baguslah penerbit nih. Mampuihlah heh.....orang tak akan sebut nama penerbit!

Saya ambil masa hampir 2 bulan juga nak siapkan album ini. Walaupun sudah ada lagu-lagu yang boleh dijangka hit, tetapi saya masih belum berpuas hati. Saya memang cerewet bab pemilihan lagu. Walaupun sayalah satu-satunya penerbit yang tak boleh main sebarang alat muzik (selain ketuk-ketuk meja.....gendang bergendang), Alhamdulillah, saya telah dianugerahkan Allah sepasang telinga yang 'tajam' (walaupun pekak badak....hehehee). Bila saya dengar melodi lagu baru, deria penghayatan saya akan tahu, bahawa sesebuah lagu boleh jadi hit atau sebaliknya.

Bagi saya lagu 'Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan', dan 'Selangit' sudah boleh dijangka hit, tetapi saya masih belum berpuas hati. Saya dengar lagu-lagu India untuk buat kajian (bukan senang Oiiii jadi penerbit). Saya terjumpa album punjabi Daler Mehndi......ada bunyi bhangra. Saya bawa CDnya ke teman akrab saya di Bandung, Ronny Load. Dia study muziknya. Seharian saya dan dia duduk program muzik. Saya bagitahu Ronny, copy gendangnya dulu.....sound bhangra. Yang lain, Ronny pandai-pandai dialah tambah apa-apa yang patut. Masuk hari kedua, barulah nampak bentuk susunan muziknya. Saya cukup respect sama Ronny Load. Orangnya cukup 'pintar' kalau bab cari sound. Muzik dah separuh jalan lengkap, tapi melodinya tak ada! Kahkahkahkah.....saya dan Ronny ketawa! Sambil program.....dia mula menyanyi, cari melodi lagu. Bolehlah boleh.....bolehlah boleh.....bolehlah boleh, itu saja yang keluar dari mulut dia. Lama kelamaan, siap melodinya.

Saya lantas ambil pen dan kertas. Mencatat sesuatu.....bermula dengan Bolehlah boleh.........setengah jam kemudian, siap! Saya pun mula menyanyi dalam studio....guide lagu je! Dalam hati saya.....inilah lagu hitnya nanti.

Waktu rakaman album kedua ini, kami masih buat rakaman di Bandung. Waktu itu, saya sudah menyewa sebuah rumah di Jalan Semarang, Antapani, Bandung. MAS IDAYU datang dengan suaminya AMAN GRASEKA. Mereka baru je kahwin secara diam-diam! 4 atau 5 hari take vokal di studio Ronny berjalan lancar. Pernah kejadian, selepas take vokal, dalam perjalanan pulang, kami ditahan polisi. Masuk balai. Saya yang drive masa tu. Saya tunjuk lesen Malaysia. Mereka kata tak laku. Saya jolok Rp50ribu....mereka lepas. Heheeeee....

Ternyata, target saya tak salah. Lagu Bolehlah Boleh menjadi hit. Phobia bhangra pulak dah. Sampaikan buat video clip pun, panggil bhangra menari sama! Dan kenangan manisnya....album ini menerima Anugerah Best Dangdut Album AIM 2000. Tapi awardnya bukan saya yang pegang.....MAS IDAYU yang simpan sampai sekarang! Padahal award tu untuk penerbit album, bukan untuk best vokal. Heheheee....sabor jelah.

29 Ogos 2008

MAS IDAYU


Setelah album sulung Amelina meletup di pasaran, Warner Music mahu saya cari lagi penyanyi dangdut. Rosman, kawan lama di KiraWang Sdn Bhd perkenalkan Mas Idayu kepada saya. Sebelum ini Mas Idayu pernah buat album. Kalau tak salah dah 5 album tapi tak satupun yang 'meletup'. Saya perkenalkan kepada Nasser Abu Kassim. Everything OK.Dapat bajet, saya pergi ke Bandung. Cari lagu. Buat muzik arranggement. Beberapa lagu saya minta Sukma buat muzik. Beberapa lagu saya minta Ronny Load buat muzik. Waktu rakaman album Mas Idayu ini, saya tidak lagi menggunakan pita 2 inch. Saya gunakan studio ADAT. Master ADAT macam VHS - bukan jenis E tapi jenis S (Super - VHS).Jadi mudahlah saya bawa masternya ini. Tak macam master pita 2 inch yang beratnya sampai 2 atau 3 kg.Bila muzik dah hampir siap, barulah Mas Idayu datang ke Bandung untuk rakaman vokal. Mas Idayu termasuk artis yang cepat menghafal melodi lagu baru. Suasana rakaman cukup menyeronokkan. Happy je. Sengaja saya cetuskan suasana sedemikian, agar dia tidak stress atau tertekan. Waktu rakaman lagu Rosyid Somantri yang berjudul 'Terlalu'....Mas Idayu menangis terisak-isak dalam studio. Katanya, lirik lagu itu ada kena mengena dengannya. Selesai rakaman, saya benar-benar puas hati. Banyak lagu best-best. Cinta 100%, Gelitik Cinta, Robek Hatiku, Bukan Cinta RM, Terlalu dan 2 buah lagu lama ciptaan YM Raja Kobat, Penyakit Cinta dan Sampai Bila.Hampir sebulan saya bekerja keras menyiapkan album ini. Daripada mengumpul lagu, sama-sama menyiapkan susunan muziknya, sama-sama 'bergadang' dalam studio menyiapkan vokal sampai ke pagi.....akhirnya kerja lelah memang berbaloi. Ternyata, album ini membanggakan Warner Music. Ia terjual melebihi 100ribu unit. Satu lagi bintang dangdut muncul. Gara-gara kejayaan itu, Mas Idayu berjanji kepada saya...."InsyaAllah, saya akan bawa abang satu famili melancong ke luar negara." Tapi sampai sekarang janji itu tetap tinggal janji semata-mata!

28 Ogos 2008

CERITA ARTIS.....TAK NAK YANG BURUK

Semua artis kita kalau berita yang dipaparkan di media cetak atau media letronik, segala-galanya hendaklah berita 'baik-baik' belaka. Kalau ada cerita yang buruk dipaparkan mengenai mereka, pasti mereka akan menafikannya (walaupun berita itu memang benar sekalipun). Jadi untuk sentiasa mendapat liputan yang 'baik-baik', mereka kenalah bodek wartawan hiburan. Buat kawan dengan mereka.

Wartawan hiburan pun satu hal jugak. Kalau dah artis tu dah jadi kawan mereka, berita yang buruk-buruk pasti disorok. Saya tahu sangatlah.....kerana suatu ketika dulupun saya pernah jadi wartawan hiburan di MEDIA HIBURAN bersama sdr Ghaffar Nin, Emma Hussin, Intan Zabidin dan Huzzaini (sekadar menyebut beberapa nama). Sebelum dipindahkan ke MEDIA HIBURAN, saya terlebih dahulu ditugaskan di meja hiburan BACARIA.

Wartawan hiburan dahulu kala, jika dibandingkan dengan wartawan hiburan sekarang ini, jauh bezanya! Wartawan hiburan dahulu kala, 'mengejar' artis untuk mendapatkan bahan berita. Allahyarham Man Toba pernah dihalau oleh Dhalan Zainuddin (ketika itu Dhalan digelar 'superstar'!) ketika cuba mengambil gambar di sekitar rumah Dhalan Zainuddin. Mahu tak mahu, terpaksalah balik ke ofis dengan tangan kosong. Heheheeee.....Zaman sekarang terbalik kot. Artis yang 'mengejar' wartawan! Ada pula artis yang terpaksa 'jaga' wartawan.
Di kesempatan ini, saya akan ceritakan segala pengalaman pahit maung saya ketika bersama artis. Baik pengalaman saya sebagai seorang wartawan hiburan, Pengurus Label di Warner Music ataupun selaku penerbit album. Inilah dunia hiburan yang fana semata-mata!
Dan tentulah melalui catatan peribadi saya di sini juga, bakal ada artis yang tak puas hati apabila 'kain mereka kelak selak'. Saya akan tulis segala yang benar-benar belaka, tidak ada yang lain selain yang benar-benar belaka! Pahit manis selama saya berkecimpung dalam dunia hiburan ini. Selama saya bertindak selaku penerbit mereka. Selama saya berkawan dengan mereka. JANGAN MARAHHHHHHHHHHH.........

25 Ogos 2008

AMELINA.........CATATAN 2




Satu hari AMELINA dipanggil untuk sign kontrak dengan Warner Music sambil berkenalan dengan staff bahagian Melayu. Biasalah...baru nak jadi artis, malu-malu kucing! Saya pasti AMELINA masih ingat lagi kata-kata saya yang saya luahkan di depan Zaini Nordin ketika itu......"Esok bila kau dah popular, muka abang ni pun kau ludah!"
"Eh....tak adalah bang!" kata AMELINA. Zaini hanya ketawa. "Kita sama-sama tengok jelah nanti Lan", sampuk Zaini.
Tak disangka-sangka.....budak berwajah cina tu meletup sakan! Hari-hari radio dok main lagu dia. Album yang dulu semua syarikat rekod tak layan.....tiba-tiba pecah rekod jualan! Mencecah jualan di atas 100 ribu kaset. Dan AMELINA mulai dari hari itu, mulai sibuk dengan show. Dulu dia kerja kilang.....sekarang dah jadi penyanyi popular! Siapa sangka tuah badan! Sebulan dia boleh kaut duit RM30ribu hingga RM40ribu dari show. Apataknya.....satu show saya charge RM3ribu ke RM4ribu. Sebulan dia boleh dapat 10 show. Budak yang dulu hidup ala kadarnya, tiba-tiba jadi kaya!!!
Alhamdulillah....itu rezeki dia. Album pertama....Rindu Ah Ah Ah, terjual hampir 200ribu copy. Album kedua....Syik Ayik Asyik, juga terjual hampir 200ribu copy. Album ketiga....Cinta Oh Cinta, mula merosot tetapi terjual 100ribu copy. Waktu itu, ada orang mulai 'kacau' AMELINA. Ada orang 'pekenakan' AMELINA. Dia mula lupa diri. Dia dah jadi angau. Duit banyak! Kaki cucuk pun banyaklah juga! Sampaikan dia sanggup keluarkan duit belikan kereta untuk seorang lelaki yang dicintainya (al kisahlah...kononnya tu) Lama kelamaan.......habislah harta AMELINA. Hubungan Amelina dengan lelaki ini tidak panjang, dia beralih pula ke seorang lelaki lain. Keluar mulut buaya, masuk pula ke mulut naga! Kononnya kekasih baru ni orang kaya.....heheheeeee. Tahu-tahu, habukpun tak ada. Cakap besar dan berlagak je! Ada member beritahu, tukang tarik kereta je!!! Amelina mempunyai tabiat yang aneh! Dia suka 'bercinta' dengan suami orang. Dia tidak suka lelaki bujang. Dari pertama kali saya jumpa dia pada tahun 1994, Amelina dah buat hubungan dengan suami orang. Semua boyfriend dia suami orang.....!!! Termasuk affair dia dengan IWAN (pun suami orang).
Selepas album ketiga yang berjudul 'Cinta Oh Cinta'....Amelina hilang entah ke mana. Dengar cerita dia kahwin 'cowboy' kat Siam (pun dengan suami orang jugak!). Sampai sekarang Amelina terus hilang dari persada muzik tanahair. Ada ramai teman-teman saya bertanya: Mana pergi Amelina? Saya jawab senang je: Entah....dah bertahun-tahun saya tak pernah jumpa atau terserempak dengan dia. Saya hanya penerbit album dia sahaja, tak lebih dari itu.
Dari akhbar dan sumber berita lain - saya dengar hubungan Amelina dengan orang tuanya tidak seindah sewaktu dia belum bergelar isteri orang. Amelina langsung tidak dibenarkan menjenguk kedua orang tuanya! MasyaAllah......dahsyatnya. Dalam hati kecil saya......kalaulah sejarah boleh diputar-balikkan, saya tak akan ambil Amelina jadi recording artis! Biarlah dia hidup aman damai dengan kedua orang tuanya!

AMELINA......CATATAN 1



Satu hari, seorang teman (Syed Mustaffa) telefon: "Ruslan, saya ada nak rekomen seorang penyanyi dari Nilai. Boleh ke?" Saya kata, "bolehlah. Suruh dia datang ke ofis di Tingkat 9 MUI Plaza, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur".
Selang beberapa hari kemudian, datanglah seorang perempuan dengan beberapa orang sanak saudaranya. Orangnya berkulit putih. Wajah macam budak Cina. Mata sepet sikit. Rambut mencecah bahu.
"Nak nyanyi lagu apa?" Saya tanya. Dia tersengeh malu-malu. "Apa-apa pun boleh", kata dia. Saya cari muzik minus one yang ada dalam stor pejabat. Saya terjumpa salah satu lagu Dayangku Intan.....(lupa lak judulnya!). Dia pun nyanyilah.......waktu itu ada Shamsudin Sidek. Ada Zaini Nordin (sekarang dah kerja dgn AirAsia). Ada juga Datuk Nasser Abu Kassim (pun ikut Datuk Tony kerja dgn AirAsia). Rata-rata komen mereka.......boleh tahan je!
Seminggu lepas tu, ada teman saya datang dari Bandung, Indonesia. "Lan, saya ada projek disko dangdut. Kamu cari penyanyi. Muzik dah siap". Kata Yanuar, teman dari Bandung. Saya lantas teringat budak perempuan yang datang dari Nilai tempoh hari. Saya telefon emak saudara dia. Esoknya dia datang ofis. Kali ni dia bawa emak dia. Saya bagi dengar muzik yg member saya bawa dari bandung. Disko dangdut. Mulanya dia tak nak! Setelah pulang ke rumah, emak dia pujuk dia suruh try nyanyi lagu disko dangdut. Mana tahu ada tuah, kata emaknya.
Sebulan saya bagi masa suruh dia hafal melodinya. Kemudian saya mulai buat rakaman vokal di sebuah studio di Seremban. Tiap hari saya berulang alik dari Kuala Lumpur ke Seremban. Dan beberapa lagu saya buat rakaman di studio Booty Boys di Jalan Pahang. Bila semua rakaman vokal dah siap, saya mulai mixing di studio Booty Boys. Mr Loh Swee Fah, orang lama dalam dunia rakaman jadi tukang mix. "Wah ini lagu banyak syok oooooo...." saya teringat lagi kata-kata Mr Loh. "Mana you mau jual ini master?" Dia tanya saya. Saya jawab pendek, "Belum tau lagi!".
Saya bawa master yang sudah siap mixing jumpa Nasser Abu Kassim (waktu itu dialah A & R (Bhg Melayu) di Warner Music. Dia reject master yang saya bawa. Sakit telinga dia dengar dangdut! Saya bawa lagi master tu ke beberapa syarikat rekod lain, termasuk PolyGram (Billy), BMG (Aziz Bakar), Sony Music (Johari Teh), Life Record (Ramli S.).....malah ke syarikat rekod kecil pun, saya bawa. Semuanya tak nak. Apalagi, penyanyinya budak baru....tak ada nama lagi.
Saya hampir-hampir putus asa. Terakhir sekali, saya tebalkan muka jumpa Tony Fernandes. Agaknya....kerana bunyi tabla, dia pun setuju. Tambah pula saya jual murah.....RM25ribu termasuk artis! On the same day, Tony bagi saya cek RM25ribu. Saya terus langsaikan segala hutang-hutang studio, hutang Sukma Maulana (tukang buat muzik) dan duit member saya, Yanuar. Selebihnya tersisa RM2ribu buat saya. Heheeee...........
Dari situlah bermulanya langkah AMELINA sebagai penyanyi dangdut...........
(bersambung................)